Wednesday, February 24, 2010




GENAP 9 TAHUN - 24hb.Feb.2001 hingga 24hb.Feb.2010 (Bahagian 1)
24hb.Feb.2010

24HB.FEB.2001. Bertempat di N0. 25, Jalan 3, Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang, Selangor Darul Ehsan, ruang rumah kedua ibubapa aku dipenuhi oleh rakan taulan dan jiran tetangga kedua ibubapa aku dan aku. Pada saat ini riuh rendah dengan hilai tawa dan perbualan mereka bertukar menjadi sunyi dan sepi apabila laungan azan di laungkan oleh sahabat aku yang bernama Jamal atau Jamal Umat (panggilan dari rakan2) dan Allahyarham Pak Imam Suffian. Kedua ibubapa aku dan aku berdiri di belakang muazzin tersebut. Isteri aku yang sedang memeluk anak aku yang bernama Muhammad Nur Ahmad yang sedang berusia 10 bulan pada ketika itu berdiri disebelah aku. Pada saat inilah aku tidak dapat menahan kesedihan yang amat sangat hinggakan aku tidak dapat menahan airmata aku dari terus mengalir, mengalir dan mengalir. Aku menangis sepuas-puas hati aku, kerana dalam beberapa jam sahaja lagi dari saat ini aku akan meninggalkan mereka berdua didalam keadaan anak aku yang baru berusia 10 bulan dan dalam keadaan isteri aku yang sentiasa diserang sakit migrain. Aku menangis dan terus menangis, sepanjang sahabat aku dan Imam Suffian melaungkan azan.

Kepada tetamu-tetamu yang ada pada ketika, kesemua mereka memerhatikan aku. Aku dah tak ambil kisah lagi mengenai perasaan malu aku. Aku tetap menangis dan menangis kerana terpaksa meninggal isteri dan anak selama 44 hari.

Begitulah peristiwa yang sudah berlalu selama 9 tahun. Ya, pada hari ini genap 9 tahun (24-02-2001 hingga 24-02-2010) sudah berlalu, aku menunaikan ibadat Haji ke Baitullahil Haram. Aku diamanahkan oleh adik -beradik aku untuk menjaga kedua ibubapa aku sepanjang kami berada di Tanah Suci Mekah.

Azan dilaungkan pada pukul 9.30 pagi. Selepas saja azan berakhir, aku dan kedua ibubapa aku pergi ke Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya. Disana kami terpaksa menunggu beberapa jam sebelum di panggil masuk ke dalam Kompleks Tabung Haji lebih kurang pukul 12.30tgh.. Didalam kompleks tersebut, kami diberi taklimat oleh pihak kakitangan tabung haji. Kami diberi makan tengahari dan kemudian mendirikan solat zohor dan jamak asar.

Lebih kurang pukul 2.30ptg. kami semua diarahkan menaiki bas untuk ke Subang Airport. Sebelum menaiki bas, kesemua jemaah haji terpaksa melalui mesin keselamatan imbasan. Ini bertujuan untuk mengelakkan para jemaah haji membawa alat atau senjata yang dilarang.

Setelah kesemua jemaah haji menaiki bas, lebih kurang 10 atau 11 buah bas, maka kami pun meninggalkan kompleks tabung haji. Perjalanan kami diiringi oleh polis trafik agar perjalanan kami tidak diganggu oleh kesesakan jalanraya. Sesampai sahaja di Subang Airport, kami terus menaiki kapal terbang Air Asia yang sudah sedia menanti para jemaah. Lebih kurang pukul 4.35ptg. kapalterbang pun terus terbang membawa kami ke Lapangan Terbang di Riyadh, Arab Saudi. Tinggallah isteri dan anak ku, demi untuk menerima jemputan dari Allah s.w.t sebagai tetamuNya.

dikompleks tabung haji kelana jaya sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah(24-02-2001). bergambar bersama anak (muhammad nur ahmad, 10 bulan) dan isteri, sebelum berangkat ke tanah suci Mekah (24-02-2001).
Sempena memperingati pemergian aku ke tanah suci setelah sembilan tahun berlalu, aku mengambil cuti rehat pada hari ini. Lat lagi 2 hari untuk menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. iaitu pada 26hb. Feb. 2010., hari Jumaat.

No comments:

Says.My